EN  |  BM  |  OTHER

Laman web rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat

Pembangunan Kanak-Kanak

Program Pembangunan Modal Insan dan Penerapan Nilai Murni

Kanak-kanak yang diberi perlindungan dan sedang menjalani pemulihan di institusi samada Rumah Kanak-Kanak (RKK), Sekolah Tunas Bakti (STB), Taman Seri Puteri (TSP) atau Asrama Akhlak (AA) mempunyai pelbagai latar belakang dan jenis kesalahan jenayah. Kesalahan lampau yang dilakukaan kebanyakkannya berpunca dari pegangan agama dan nilai kendiri yang lemah. Oleh yang demikian, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membangunkan kanak-kanak ini melalui program seperti berikut:

1. Kelas Asas Fardhu Ain

Kanak-kanak di institusi diwajibkan hadir dan mengikuti kelas Asas Fardhu Ain. Melalui kelas ini, kanak-kanak akan diajar dan diterapkan dengan pelbagai ilmu agama seperti Fekah, Tauhid, Tajwid dan Ibadah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan agama kepada mereka. Program ini penting sebagai salah satu pemulihan secara kerohanian dalam diri kanak-kanak.

2. Kem Tranformasi Jati Diri dan Minda

Melalui program ini kanak-kanak di institusi akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang boleh meningkatkan motivasi dan semangat mereka utntuk berubah menjadi kanak-kanak yang lebih berfikiran positif dan mempunyai akhlak yang mulia. Kebiasaannya program ini akan diadakan diluar institusi selama 3 hari untuk memberi pengalaman baru dan berbeza kepada kanak-kanak.

3. Program Kunjungan Kasih

JKM melalui Bahagian Kanak-kanak telah merancang secara tahunan program Kunjungan Kasih ini di setiap institusi kanak-kanak bagi mewujudkan hubungan dan mengeratkan silaturrahim antara kanak-kanak. Selain dari ziarah, semasa program ini akan diadakan ujian fardhu ain disamping beberapa aktiviti penerapan nilai-nilai murni seperti ceramah, kaunseling, solat sunat dan panduan zikir.

4. Seminar Bijak Belajar dan Motivasi Pelajar

JKM tidak pernah mengabaikan masa hadapan kanak-kanak di institusi yang akan mengambil peperiksaan utama pada setiap tahun seperti UPSR, PMR dan SPM. Oleh itu, Bahagian Kanak-Kanak mengadakan Seminar Bijak Balajar dan Motivasi Pelajar untuk membantu kanak-kanak ini memahami kaedah dan teknik belajar yang betul serta meningkatkan motivasi diri mereka.

5. Program Latihan Kemahiran di Institusi

Institusi perlindungan dan pemulihan JKM juga mengendalikan program latihan kemahiran bagi kanak-kanak institusi yang keciciran dalam bidang akademik. Seramai kira-kira 60 peratus kanak-kanak di institusi mengikuti program latihan kemahiran. Program latihan kemahiran merangkumi beberapa bidang iaitu:

  • • Automotif
  • • Elektrik
  • • Kimpalan
  • • Binaan Bangunan
  • • Masakan (Bakeri)
  • • Jahitan
  • • IT

Program latihan kemahiran yang dijalankan di institusi kanak-kanak JKM adalah berteraskan pelaksanaan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SKM) yang diselaraskan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Semua modul pengajaran dan pembelajaran (P&P) dibangunkan berpandukan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) atau National Occupational Skills Standard (NOSS). Selain daripada itu, kanak-kanak di institusi juga mengikuti program latihan kemahiran secara modular. Antara program yang dijalankan secara modular ialah:

  • • Kraftangan (cenderamata)
  • • Lukisan batik dan Kaca
  • • Menggunting rambut
  • • Simen Ferro
  • • Komputer

6. Kelas Akademik

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak pernah mengabaikan masa hadapan kanak-kanak walaupun mereka berada di insitusi Kebajikan Masyarakat. Kanak-kanak tersebut akan mengikuti kelas akademik secara formal sama seperti kanak-kanak lain di sekolah yang berhampiran dengan institusi berkenaan. Selain itu, bagi kes-kes tertentu, terdapat juga kanak-kanak tetap yang akan mengikuti kelas-kelas akademik di dalam insitusi tersebut.

Malah kanak-kanak ini juga, akan mengambil peperiksaan utama seperti UPSR, PMR dan SPM dan terdapat kanak-kanak berkenaan telah mencapai keputusan peperiksaan yang memberangsangkan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Berdasarkan rekod terdapat kanak-kanak institusi Kebajikan Masyarakat yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), ATMA, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP).

Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah melatih ramai kakitangannya untuk mengendalikan Kelas KIA 2M. Hasilnya kanak-kanak di institusi Kebajikan Masyarakat mendapat manfaat setelah mengikuti Kelas KIA 2M ini.