EN  |  BM  |  OTHER

Laman web rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat

Pendaftaran Orang Kurang Upaya

  1. Pengenalan
    • • Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) dibuat secara sukarela di seluruh negara. Agensi yang terlibat dalam pendaftaran adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pendaftaran OKU hendaklah dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian.

  2. Objektif Pendaftaran OKU
    • • Untuk mengetahui bilangan, taburan dan kategori OKU di negara ini bagi maksud merancang program berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi, latihan serta perkhidmatan.
    • • Untuk merancang penyediaan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan OKU.
    • • Untuk membolehkan OKU yang berdaftar mendapat perkhidmatan yang bersesuaian menurut keperluan berdasarkan tahap kefungsian / ketidakupayaan mereka.

  3. Definisi OKU
    • • Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008:-
      • • 'Orang Kurang Upaya' termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual, atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.

  4. Kategori OKU
    1. Pendengaran
    2. Kurang Upaya Pendengaran bermaksud tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua telinga tanpa menggunakan alat bantu pendengaran atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan menggunakan alat bantu pendengaran. Kurang upaya pendengaran boleh dibahagi kepada empat tahap, iaitu :-

      • • Minimum 15 - < 30dB (kanak-kanak)
      • • 20 - < 30dB (orang dewasa)
      • • Sederhana 30 - < 60dB
      • • Teruk (severe) 60 - < 90dB
      • • Sangat teruk (profound) ≥ 90dB

    3. Penglihatan
    4. Kurang Upaya Penglihatan bermaksud buta kedua-dua belah mata ATAU buta di sebelah mata ATAU penglihatan terhad di kedua-dua belah mata ATAU lain lain gangguan penglihatan kekal. Kurang upaya penglihatan boleh dibahagi kepada:-

      • • Terhad bermaksud penglihatan lebih teruk dari 6/18 tetapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan atau medan penglihatan kurang dari 20 darjah dari fixation.
      • • Buta bermaksud penglihatan kurang daripada 3/60 atau medan penglihatan kurang dari 10 darjah dari fixation.

      ** Kurang daripada 3/60 ialah Counting Fingers (CF), Hand Movement(HM), Perception of Light (PL) dan No-Perception Light (NPL).

      Lain-lain gangguan penglihatan kekal (hanya boleh disahkan oleh Pakar Oftalmologi)

    5. Pertuturan
    6. Kurang Upaya Pertuturan bermaksud tidak boleh bertutur sehingga menyebabkan gangguan berkomunikasi dengan sempurna dan tidak boleh difahami oleh mereka yang berinteraksi dengannya. Keadaan ini adalah kekal atau tidak akan sembuh. Bagi kanak-kanak mestilah berdasarkan penilaian pada umur lima tahun ke atas. Sekiranya ada kemusykilan, Pakar Otorinolaringologi hendaklah dirujuk.

    7. Fizikal
    8. Kurang Upaya Fizikal bermaksud ketidakupayaan kekal anggota badan sama ada disebabkan oleh kehilangan ATAU ketiadaan ATAU ketidakupayaan mana-mana anggota badan yang boleh menjejaskan fungsi mereka dalam melakukan aktiviti asas sepenuhnya. Aktiviti asas yang dimaksudkan ialah seperti penjagaan diri, pergerakan dan penukaran posisi tubuh badan. Keadaan ini boleh terjadi akibat daripada kecederaan (trauma) atau penyakit pada mana-mana sistem saraf, kardiovaskular, respiratori, hematologi, imunologi, urologi, hepatobiliari, muskuloskeletal, ginekologi dan lain-lain yang menyebabkan ketidakfungsian. Contoh penyebab ketidakupayaan ini adalah:

      1. Limb defects (congenital/acquired), termasuk kehilangan ibu jari tangan
      2. Spinal Cord Injury
      3. Stroke
      4. Traumatic Brain Injury
      5. Kerdil (Achondroplasia) iaitu ≤ 142cm bagi lelaki dan ≤ 138cm bagi wanita
      6. Cerebral Palsy

      Nota:
      Individu yang mengalami keadaan kekurangan (impairment) tanpa menjejaskan fungsi, contohnya kehilangan jari, mempunyai lebih jari (polydactyly) dan tidak ada atau tidak sempurna cuping telinga tidak dipertimbangkan bagi tujuan pendaftaran.

    9. Masalah Pembelajaran
    10. Masalah Pembelajaran bermaksud masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikalnya. Mereka yang tergolong dalam kategori ini ialah Lewat Perkembangan Global, Sindrom Down dan kurang upaya intelektual. Kategori ini juga merangkumi keadaan yang menjejaskan kemampuan pembelajaran individu seperti autisme (autistic spectrum disorder), Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan masalah pembelajaran spesifik seperti (dyslexia, dyscalculia dan dysgraphia).

    11. Mental
    12. Kurang Upaya Mental merujuk kepada keadaan penyakit mental yang teruk menyebabkan seseorang itu tidak berupaya berfungsi sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam hal berkaitan dirinya atau perhubungan dalam masyarakat.

      Di antara jenis-jenis penyakit mental tersebut ialah Organic Mental Disorder yang serius dan kronik, Skizofrenia, Paranoid, Mood Disorder (depression, bipolar) dan other Psychotic Disorder seperti Schizoaffective Disorder dan Persistent Delusional Disorders.

      Nota:

      1. Klien mestilah telah menjalani rawatan psikiatri sekurangkurangnya dua tahun.
      2. Pakar Psikiatri akan menentukan tahap kefungsian sosial, kognitif dan kawalan tingkah laku pesakit terjejas dengan ketara atau teruk sebelum beliau dipertimbangkan bagi tujuan pendaftaran OKU.

    13. Pelbagai(Multiple Disabilities)
    14. Kurang Upaya Pelbagai (Multiple Disabilities) bermaksud mempunyai lebih daripada satu jenis ketidakupayaan dan secara umumnya tidak sesuai diklasifikasikan dalam kategori I hingga VI.

  5. Kad OKU
    • • KAD OKU adalah suatu tanda pengenalan diri yang dikeluarkan kepada orang kurang upaya yang berdaftar dengan Jabatan bagi memudahkan mekeka berurusan dengan pihak-pihak yang berkenaan.

  6. Borang pendaftaran OKU
  7. Borang Permohonan Pendaftaran Orang Kurang Upaya Sila klik sini

  8. Permohonan Pendaftaran
    • • Permohonan boleh dibuat di mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian;
    • • Menggunakan borang tersebut di atas; dan
    • • Menyertakan 1 keping gambar ukuran passport dan dokumen sokongan seperti Sijil Kelahiran/MyKid/MyKad

  9. Syarat-syarat pendaftaran
    • • Warganegara yang bermastautin di Malaysia
    • • Telah disahkan / diperakui oleh Pegawai Perubatan Hospital Kerajaan / Pakar Psikiatri atau Pakar Perubatan Swasta.

  10. Penukaran Kad Penukaran
    • • Penukaran kad OKU boleh dilakukan di mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian disebabkan :
      • • Kad OKU hilang;
      • • Kad OKU rosak;
      • • Mencapai umur 18 tahun; dan
      • • Perubahan kategori ketidakupayaan