EN  |  BM  |  OTHER

Laman web rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat

Program Independent Living (IL)

Menurut Adolf Ratzka, “Independent Living is a philosophy and a movement of people with disabilities who work for self-determination, equal opportunities and self-respect”. Dengan kata lain, IL merupakan satu konsep atau pandangan yang memberi penekanan terhadap kebebasan OKU dalam membuat keputusan, menentukan hala tuju atau matlamat hidup dan mempunyai tanggungjawab sepenuhnya ke atas diri sendiri dalam pelbagai aspek kehidupan. Ia juga bertujuan untuk memberi penghormatan kepada OKU yang merupakan sebahagian daripada sistem yang membentuk sesebuah masyarakat serta mempunyai hak dan keperluan yang perlu dipenuhi dalam melangsungkan kehidupan mereka.

Di Malaysia, IL telah diperkenalkan menerusi Projek Menyokong Penyertaan Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaksanakan secara kerjasama oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) dan Japan International Cooperation Agency (JICA) pada tahun 2005-2008. Menerusi Projek ini beberapa siri kursus IL telah dijalankan di Jepun dan Malaysia. Peserta-peserta kursus tersebut, telah melaksanakan dan memperluaskan program dengan menganjurkan seminar dan kempen IL di sekitar Kuala Lumpur dan Teluk Intan.

Pusat IL pertama di Malaysia “Society of Independent Living for The Disabled Selangor” telah ditubuhkan pada 6 Februari 2008 di Petaling Jaya yang diasaskan oleh Beautiful Gate Foundation dengan peruntukan geran daripada JKM.

Falsafah IL

  1. OKU sepatutnya tinggal di dalam masyarakat bukannya di intitusi;
  2. OKU bukan pesakit yang mesti dirawat, kanak-kanak yang diberi perlindungan ataupun Tuhan untuk disembah;
  3. OKU lebih arif mengenai bantuan serta keperluan yang diperlukan dan dapat menguruskanya dengan sendiri;
  4. OKU adalah mangsa diskriminasi bukannya mangsa ketidakupayaan mereka.