EN  |  BM  |  OTHER

Laman web rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat

Unit Khidmat Penyayang ( UKP )

Pengenalan

Dalam usaha menentukan kesejahteraan masyarakat melalui pelbagai perkhidmatan yang disediakan, Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi keutamaan terhadap peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan. JKM sentiasa peka kepada ekspektasi dan kehendak masyarakat yang memerlukan perkhidmatan yang lebih cekap, cepat dan berkesan. Salah satu mekanisme untuk mencapai hasrat tersebut adalah melalui perluasan dan peningkatan jentera penyampaian perkhidmatan sedia ada kepada masyarakat khususnya kumpulan sasar sehingga ke peringkat akar umbi tanpa mengira dimana mereka berada.

Senario semasa juga memperlihatkan keperihatinan masyarakat kepada permasalahan dan penderitaan individu, keluarga dan komuniti yang dianggap tercicir daripada arus pembangunan dan tidak mendapat pertolongan atau bantuan yang sewajarnya. Berita mengenai kes-kes sebegini banyak dipaparkan melalui media cetak dan juga media elektronik. Oleh itu JKM perlu mengambil suatu pendekatan efektif yang dapat menentukan liputan perkhidmatan disebar luas untuk mengelakkan masalah keciciran golongan yang berkeperluan daripada sistem penyampaian perkhidmatan yang disediakan oleh JKM.

Konsep Unit Khidmat Penyayang

Program UKP merupakan satu program pendampingan sosial atau social outreach untuk mendekatkan JKM kepada masyarakat khususnya masyarakat terpinggir, daif, miskin dan yang sukar mendapat bantuan. Melalui pendekatan outreach urusan penyampaian perkhidmatan tidak lagi hanya tertumpu di pejabat sebaliknya pegawai dan kakitangan terlibat akan keluar mendampingi dan mengenalpasti kumpulan sasar bagi menyampaikan perkhidmatan yang diperlukan.

UKP berkonsepkan perkhidmatan bergerak untuk mengendalikan khidmat bantuan dan rujukan secara berpusat bagi membantu individu, keluarga, komuniti dan golongan lain yang memerlukan di kawasan setempat melalui perkhidmatan dan program yang disediakan oleh JKM, agensi lain dan Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK). Unit Khidmat Penyayang JKM terdiri dari jenis kenderaan bas mini dan van. Sebanyak 61 buah kenderaan UKP telah ditempatkan di seluruh negeri.

Fungsi Unit Khidmat Penyayang

  • • Pejabat Mini Bergerak
  • • Pusat Perkhidmatan Jabatan
  • • Pusat Pengurusan Pembayaran Bantuan & Pemberian Bantuan Segera
  • • Pusat Khidmat Nasihat & Kaunseling
  • • Pelaksanaan Program Advokasi Berkaitan Akta-Akta & Perkhidmatan Jabatan serta Pameran
  • • Pusat Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU)
  • • Unit Operasi Bencana
  • • Pusat Rujukan yang melibatkan agensi lain di bawah KPWKM, lain-lain agensi & Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan.